Ciri-ciri manusia unggul

Manusia unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal salih.

1. Keimanan Yang Utuh

Keimanan kepada Allah SWT adalah paksi pembinaan negara dan ummah.
Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Asr:

'Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang
beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan
kesabaran.' (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah
mereka yang beriman dan beramal salih. Beriman kepada Allah adalah proses
peralihan jiwa manusia daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang
kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah.

Iman merangkumi tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang
jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang
kukuh yang menjadi tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina
jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada
melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Pelaksanaan Amal Ibadat

Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang
berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan
dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia
itu sendiri ialah supaya beribadat kepada-Nya. Firman Allah SWT:
'Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat.'
(Surah az-Zariat, ayat 56)

Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada
Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khususiah yang
menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah yang merangkumi hubungan manusia
sesama manusia.

Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik
hubungannya dengan Pencipta ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat. Allah
SWT berfirman:

'Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu'
dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak
berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya
kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka
sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.' (Surah al-Mukminun, ayat 1-6)

3. Akhlak Mulia

Akhlak mulia bagi peribadi unggul adalah hasil keimanan yang kental. Ini
disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan
masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh
anggota masyarakat tersebut.
Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah
masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah SAW
adalah contoh utama pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadith, baginda bersabda,
'Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.' (Riwayat
Ahmad)

Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi
melahirkan individu unggul ialah:

a) Amanah
Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah
asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada
keadilan. Firman Allah SWT:

'Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan
bertaqwalah kepada Allah, Tuhannya.' (Surah al-Baqarah, ayat 283)

b) Ikhlas
Ikhlas adalah inti setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah SWT:
'Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.' (Surah al-Bayyinah ayat 5)

Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan
sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat
kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, 'Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi
orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi
apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat.
Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim.' (Riwayat
Imam al-Baihaqi)

c) Tekun
Islam menggalakkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan
sehingga selesai dan berjaya. Sabda Rasulullah SAW, 'Sesungguhnya Allah SWT
menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun.' (Riwayat
Abu Daud) Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana
kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.

d) Berdisiplin
Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu
kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai
dengan lebih cepat lagi. Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan
pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

e) Bersyukur
Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: pertama;
sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh
Pencipta sama ada sedikit atau banyak, kedua; bersyukur sesama makhluk sebagai
ketetapan daripada Allah SWT supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan
kebajikan. Allah SWT berfirman:

'Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku
kepada kamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.'
(Surah Ibrahim, ayat 7)

f) Sabar
Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk
peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah SWT. Firman Allah SWT:

'Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala
kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran
kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah
(dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu
kepada Allah supaya kamu berjaya.' (Surah Ali Imran, ayat 200)

g) Adil
Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan
adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan,
pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
'Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian
dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan berjimat
cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang membinasakan iaitu
mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya
sendiri.' (Riwayat Abu Syeikh)












Kesan Manusia Beruntung Dalam Kehidupan

Seorang manusia yang memiliki sifat-sifat unggul adalah sangat beruntung
kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Kondisi ini membuatkan ia
dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.

Kesan Kepada Diri Sendiri

Manusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan
sebaik-baiknya dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan-tuntutan rohani dan
jasmaninya dengan terkawal. Aspek-aspek rohani dan jasmani manusia yang terdiri
daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat akan
dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah sebenar berdasarkan fungsi
kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang
diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.

Akal fikiran yang diciptakan Allah SWT merupakan mahkota berharga yang
menampilkan imej manusia. Ia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan
yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh menyampaikannya
kepada orang lain. Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah dan petunjuk
Allah SWT menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian-kejadian alam
dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh orang lain.

Al-Quran menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran, memerhati dan
mengkaji kejadian-kejadian alam ini. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai
faedah yang sangat besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup
yang kemudiannnya akan menemui hakikat kebesaran Allah SWT sebagai Pencipta
yang Maha Agung. Dengan itu ia selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan
keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah swt dengan penuh kesedaran
dan akan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju
keredhaan Allah SWT.

Roh dan nyawa adalah komponen utama manusia. Adalah terlalu sulit untuk
diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah SWT. Walaupun demikian ia amat
mustahak kerana dengannya mausia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi,
memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.

Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot,
urat, darah, tulang, anggota pancaindera dan lain-lain. Masing-masing mempunyai
fungsi tersendiri dan meyempurnakan antara satu sama lain iaitu sesuai dengan
kejadian manusia yang dijadikan Allah SWT sebagai sebaik-baik kejadian.
Seseorang yang terdidik dengan nilai-nilai unggul, jasadnya akan bergerak di
atas panduan yang betul.

Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja-kerja yang baik, rehat dan
tidur dengan seimbangnya, memakan makanan yang bersih dan halal, menjaga
kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudharatan,
dosa dan sebagainya. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:

' … dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan.'
(Surah al-Baqarah, ayat 195)

Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit
dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan
hidup seseorang.

Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam
al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia
sesuatu yang sukar dikawal. Sekiranya nafsu dapat dididk dan dikawal, ia akan
menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan diri manusia. Tetapi sekiranya
ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri
seseorang untuk melakukan apa sahaja kemahuan yang lebih cenderung kepada
keburukan. Firman Allah SWT;
'Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali
orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari
hasutan nafsu itu).' (Surah Yusuf, ayat 53)

Bagi menenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Dengan
demikian umat manuisa akan membiak dan berkembang dengan cara yang betul di
samping sebagai salah satu pengecapan kurniaan nikmat Allah SWT dalam hidup
berkeluarga. Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang itu melaksanakan
tanggungjawab, khususnya kepada diri sendiri adalah bergantung kepada berjaya
atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara tersebut. Aspek-aspek
ini adalah asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Kesan Kepada Keluarga

Seseorang insan yang unggul akan mudah mengatur urusan hidup keluarganya. Ia
dapat merencanakan soal-soal pendidikan, saraan, pergaulan dan pembangunan
keluarganya dengan tarbiah Islamiah. Ia dapat menjalankan tugasnya sebagai ra'i
atau ketua keluarga dan dalam masa yang sama sebagai abid atau hamba Allah yang
sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT.

Dalam sesebuah keluarga, aspek-aspek kesihatan fizikal adalah sangat perlu.
Ini kerana kesejahteraan pemikiran dan kerohanian seseorang bergantung rapat
kepada kesejahteraan fizikal. Seseorang mukmin yang kuat adalah lebih baik
daripada yang lemah. Minda yang sihat akan lahir dari tubuh badan yang sihat.
Oleh itu, tarbiah jasmaniah seperti yang dituntut oleh syarak perlulah
dilaksanakan dalam keadaan yang teratur. Umpamanya dalam pemilihan makanan
mestilah yang bersih, baik dan dari sumber yang halal. Amalan buruk yang boleh
memudaratkan badan seperti merokok, meminum minuman keras, menyalahgunakan
dadah dan sebagainya, hendaklah dijauhi. Sekiranya ketentuan ini tidak
dipatuhi, kesihatan jasmani akan terjejas dan boleh memberi kesan buruk kepada
mental, fizikal dan spiritual.
Pendidikan rohani pula adalah aspek yang penting. Ia merangkumi keimanan,
pengamalan syariat, pelaksanaan tanggungjawab sebagai seorang muslim serta
pembangunan mental dan spiritual. Seorang ketua keluarga bertanggungjawab
membentuk dan mendidik keluarganya mengamalkan tuntutan-tuntutan yang
dikehendaki oleh Islam. Dalam masa yang sama menjauhi perkara-perkara yang
haram dan makruh. Ia juga mestilah memastikan ketulenan akidah keluarganya dan
membersihkannya dari sebarang bentuk kekufuran dan kesyirikan serta mengikis
jiwa dari kekotoran dan penyakit melalui amalan dan latihan yang mantap serta
berterusan. Firman Allah SWT:

'Sesungguhnya berjayalah orang yang ( setelah menerima peringatan itu)
berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh) dan menyebut-nyebut
dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (
dengan khusyuk).' (Surah al-A'la, ayat 14-15)

Seperti yang telah dinyatakan akal fikiran sangat berharga bagi manuisa.
Islam juga menuntut umatnya supaya menggunakan akal fikiran dengan betul. Islam
menyuruh manusia supaya menuntut ilmu yang bermanfaat dan ilmu itu pula
hendaklah disebarkan melalui proses pengajaran dan pengembangan.
Seiring dengan kekuatan pemikiran, pendidikan akhlak adalah amat mustahak.

Seseorang ketua yang unggul adalah model yang berkesan dalam pendidikan
akhlak keluarganya. Ia perlu membimbing ahli keluarganya dengan akhlak Islamiah
berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada padanya. Kegagalan sesetengah keluarga
untuk mengamalkan akhlak Islamiah kebanyakannya berpunca daripada kegagalan
ketua keluarga atau ibu bapa masing-masing yang tidak mengamalkan nilai-nilai
murni seperti yang ditetapkan oleh Islam. Sebab itulah ibu bapa perlu membentuk
keunggulan diri mereka terlebih dahulu sebelum amalan itu dapat diperturunkan
kepada anak-anak mereka.

Seorang ketua keluarga juga dapat mengatur soal kehidupan ekonomi dan sosial
keluarganya berpandukan nilai-nilai yang baik. Ia akan mempunyai rasa
tanggungjawab untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarganya dengan mengamalkan
sikap bersungguh-sungguh dalam kerjaya. Ia berkeyakinan bahawa kesungguhan
bekerja adalah suruhan agama yang perlu ditunaikan. Dengan demikian ia akan
membawa keluarganya keluar dari ruang lingkup kemiskinan yang menjadi salah
satu musuh Islam yang boleh membawa kepada kekufuran seperti sabda Rasulullah
SAW, 'Hampir-hampr kefakiran itu membawa kepada kekufuran.' (Riwayat Abu Naim)

Kesan Kepada Masyarakat, Negara Dan Ummah

Seseorang insan yang unggul akan memastikan hubungan kemasyarakatan dan
keluarganya berada dalam satu ikatan yang jitu. Prinsip-prinsip hubungan
kejiranan dan masyarakat di sekitarnya akan diasaskan kepada panduan-panduan
yang digariskan oleh Islam. Firman Allah SWT:

'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan
janganlah kamu bercerai berai....' (Surah Ali Imran ayat 103)
'Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik
kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin,
jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang
musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki.' (Surah
an-Nisa', ayat 36)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, 'Hubungan orang mukmin dengan orang
mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu
sama lain.' (Riwayat at-Tabarani)

Setiap kelompok masyarakat perlu memberi perhatian berat kepada bidang
pendidikan. Insan yang beruntung dalam sesebuah masyarakat akan memudahkan
usaha dan perancangan untuk meningkatkan kualiti masyarakat melalui aktiviti
pendidikan, pengajian dan muamalat.

Penghayatan agama juga sangat mustahak. Merekalah yang akan mengembangkan
penghayatan ajaran Islam melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah melalui
cara-cara yang formal atau tidak formal. Suasana ini bukan sahaja dapat
melahirkan masyarakat yang harmoni dan berdisiplin, tetapi juga akan
menampakkan masyarakat yang mempunyai imej yang tinggi serta mendapat
keberkatan daripada Allah SWT.

Seperti yang diketahui, ketrampilan seseorang individu atau masyarakat dengan
ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak sempurna.
Dalam ertikata lain, seseorang muslim perlu mendapatkan pengetahuan yang luas
dan kemahiran yang tinggi dalam ilmu selain ilmu agama yang menjadi keperluan
asasi. Ia meliputi ilmu ekonomi, politik dan sosial yang perlu diketahui
sebagai alat untuk meletakkan diri masing-masing dalam arus perdana kehidupan
bermasyarakat dan beragama. Dengan sebab itu bidang ekonomi, politik dan sosial
mesti diketahui dan dicemburi secara bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya pada
tahap yang paling asas. Bidang-bidang ini merupakan urusan hidup yang menjadi
sebahagian penting yang dikehendaki oleh ajaran Islam seperti yang dijelaskan
dalam firman Allah SWT:

'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah
kepadamu (pahala dan kebahagiaan) hari akhirat dan janganlah engkau melupakan
bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.' (Surah al-Qasas, ayat 77)

Selain bidang sosial dan ekonomi, bidang politik juga menjadi perkara yang
penting dalam sesebuah masyarakat. Kestabilan politik sesebuah negara adalah
berpunca daripada keunggulan dan kekuatan yang ada pada diri setiap individu,
yang kemudiannya membentuk satu ikatan warganegara yang kukuh.

Apabila sesebuah masyarakat itu kukuh, akan lahir pula tokoh-tokoh berwibawa
yang boleh diharap menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat. Pemimpin
ini pula perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan sifat-sifat unggul sebagai
pemimpin. Dia perlu diberi kepercayaan dan sokongan supaya masyarakat dan
negara dapat dibawa kepada pencapaian matlamat kemakmuran hidup dan keredhaan
Allah SWT seperti yang dapat difahami daripada kisah negeri Saba' (Yaman Tua)
yang diceritakan di dalam al-Quran:

'Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba' satu tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua
kumpulan kebun (yang luas lagi subur) yang terletak di sebelah kanan dan di
sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): 'Makanlah dari
rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya , (negeri kamu ini
adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang
Amat Pengampun.' (Surah Saba', ayat 15)

Dalam konteks kepentingan sejagat pula seseorang insan yang unggul akan mampu
memimpin ummah di peringkat yang lebih luas. Kejayaan memimpin negara akan
diikuti oleh negara lain sebagai model. Pemimpin yang berwibawa di arena
antarabangsa ini diperintahkaan oleh Islam supaya memberikan sumbangan untuk
kesejahteraan ummah. Dengan itu tercapailah fungsi manusia sebagai khalifah
Allah SWT di atas muka bumi ini.

Penutup

Demikianlah antara kesan-kesan yang dapat dilahirkan oleh insan yang umggul
dalam kehidupannya sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah
hasil daripada pegangan dan amalan terhadap nilai-nilai unggul seperti yang
telah dinyatakan.


0 comments: